GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Husni Mohd Noor


BELAJAR tulisan khat bukan paksaan, sebaliknya satu usaha untuk meningkatkan kefahaman semua murid mengenai seni, warisan dan sejarah Bahasa Melayu.

Itu antara penjelasan bagi soalan kerap ditanya (FAQ) mengenai isu tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, hari ini.

Difahamkan, FAQ itu dikeluarkan susulan perdebatan hangat mengenai tulisan khat yang diperkenalkan sebagai antara kandungan subjek Bahasa Melayu, tahun depan.

FAQ merangkumi 10 soalan berserta penjelasan itu turut dikongsi Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menerusi laman Facebook (FB) peribadinya, hari ini.

Antaranya, kementerian menjelaskan tulisan jawi sudah diajar di SJK melalui mata pelajaran Bahasa Melayu sejak 2015 lagi dan ia boleh dirujuk kepada buku teks Bahasa Melayu untuk SJK Tahun 5 cetakan 2015 di muka surat 85 hingga 88 (bawah Tema 6 Menghargai Budaya Bangsa Unit 17 Seni Tulisan).

Menurutnya, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan bagi subjek Bahasa Melayu Tahun 4 memperkenalkan seni tulisan khat sebagai pengisian tambahan.

“Tulisan khat dilaksanakan sebagai pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai seni, warisan dan sejarah Bahasa Melayu.

“Pengisian ini dilaksanakan melalui pembelajaran di dalam buku teks Bahasa Melayu. Terdapat enam muka surat aktiviti seni bahasa berkaitan tulisan khat dimuatkan di dalam buku teks setebal 164 muka surat,” katanya.

Kementerian memaklumkan, pelaksanaan tulisan khat tidak hanya berlaku di SJK sahaja sebaliknya membabitkan semua Sekolah Kebangsaan (SK) juga.

Dalam pada itu, menerusi FAQ sama, pengenalan tulisan khat dimaklumkan untuk Tahap 2 dengan membabitkan murid tahun empat pada 2020, tahun lima pada 2021 dan tahun enam pada 2021 manakala, murid Tahap 1 (Tahun 1 hingga 3) tidak terbabit dengan pengenalan tulisan khat.

Selain itu, tulisan khat juga tidak diuji dalam ujian dan peperiksaan malah, tiada pentaksiran akan dijalankan.

Dalam pada itu, berhubung soalan kenapa tulisan khat dipilih dan tidak memberi fokus kepada ‘coding’ dan cabang ilmu lain, kementerian menjelaskan, tulisan khat adalah pengisian tambahan yang relevan untuk subjek terbabit.

“Kementerian memperkenalkan coding atau pengekodan kepada murid sekolah rendah dan menengah dalam pelaksanaan KSSR dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Semakan 2017.

“Di sekolah rendah, ia membabitkan murid Tahap 2 (Tahun 4,5 dan 6). Manakala untuk sekolah menengah pula membabitkan Tingkatan 1 hingga 3. Aspek coding ini dipelajari melalui mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi serta Asas Sains Komputer,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 6:09 PM