Kakitangan PERHILITAN memasang perangkap susulan kehadiran seekor beruang matahari di kawasan Rancangan Tanah FELDA Perasu, Gua Musang, semalam. Foto Ihsan PERHILITAN
Kakitangan PERHILITAN memasang perangkap susulan kehadiran seekor beruang matahari di kawasan Rancangan Tanah FELDA Perasu, Gua Musang, semalam. Foto Ihsan PERHILITAN
Muhamaad Razis Ismail


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan sudah memasang perangkap susulan penemuan beruang matahari di kawasan Rancangan Tanah FELDA Perasu, Gua Musang sejak minggu lalu.

Pengarah PERHILITAN Kelantan Ady Ermanty Haniff Mohamad Hanif berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kehadiran haiwan liar itu pada 9 pagi kelmarin.

Menurutnya, seramai lima anggota PERHILITAN ke lokasi semalam untuk membuat siasatan dan kawalan.

“Hasil siasatan, kita mendapati hidupan liar itu berkeliaran berhampiran rumah pengadu.

“Susulan itu, pada 2 petang hari yang sama, kita memasang perangkap di lokasi terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sehingga kini haiwan liar itu masih belum ditangkap tetapi pihaknya tetap melakukan pemantauan.

Sebelum ini dilaporkan peneroka di Rancangan Tanah FELDA Perasu berasa bimbang dengan kehadiran seekor beruang matahari yang ditemui merayau di kawasan penempatan mereka sejak minggu lalu.

Penduduk juga terpaksa membawa parang ketika memasuki ladang sawit bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 7:10 PM
Digital NSTP Subscribe