MOHAMAD pada sidang media di Balai Polis Pantai.
MOHAMAD pada sidang media di Balai Polis Pantai.
Raja Noraina Raja Rahim


USAHA pasukan mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland berdepan kesukaran kerana jejaknya hanya dapat dikesan 100 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, unit anjing pengesan (K9) yang terbabit dalam operasi berkenaan cuba menjejaki lokasi Nora Anne Quoirin, 15, mungkin berada pada hari pertama dia hilang.

“Anjing hanya dapat kesan jejak mangsa kira-kira 100 meter dari bilik dia dan keluarganya menginap di resort berkenaan. Kita yakin mangsa masih berada di kawasan sekitar dan mungkin sesat di hutan.

“Sebab itu, lokasi pencarian masih tertumpu di kawasan sekitar resort membabitkan radius seluas 4.85 hektar sama seperti semalam,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai di Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, operasi pencarian berdepan kesukaran kerana sehingga kini tiada maklumat tepat yang boleh mengesan lokasi mangsa.

Menurutnya, operasi SAR pada hari ini dimulakan 7.30 pagi membabitkan kekuatan 178 pegawai dan anggota polis termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Jabatan Perhutanan yang dibahagikan kepada empat kumpulan.

Katanya, operasi itu juga mendapat bantuan daripada penduduk kampung dan Orang Asli yang secara sukarela menawarkan diri untuk membantu mencari mangsa.

“Sekiranya mangsa tidak ditemui di lokasi sama, kita mungkin akan teruskan operasi pencarian di kawasan lereng bukit dan sungai bermula malam ini sehingga esok. Jika dia sesat, kemungkinan dia akan turun cari sumber air,” katanya.

Mohamad turut mengesahkan mangsa kali terakhir dilihat hanya memakai pakaian dalam ketika tidur sebelum dia dilaporkan hilang.

Ditanya mengenai khabar angin mangsa dijumpai penduduk sedang mandi di tangki air di kawasan itu, beliau berkata, pihaknya menyiasat setiap maklumat diterima.

“Setiap maklumat yang diterima kita akan siasat. Ini termasuk juga yang mengatakan kes ini mempunyai kaitan dengan unsur mistik, kita terima dan siasat,” katanya.

Malah, ditanya mengenai dakwaan mangsa diculik, beliau menegaskan sehingga kini siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes masih diklasifikasi orang hilang.

Beliau berkata, ibu bapa dan dua adik mangsa masih berada di resort itu serta mereka memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 7:33 PM