FOTO hiasan
Shahrinnahar Latib


DUA lelaki di sini menjadi mangsa terbaru sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit sehingga mengakibatkan kerugian RM45,200.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, bagi kes pertama, seorang juruteknik berusia 26 tahun kerugian RM35,600 selepas diperdaya suspek yang menyamar sebagai kakitangan mahkamah dan pegawai polis.

“Kejadian berlaku Ahad lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai notis hadir ke mahkamah berkait kes tunggakan kad kredit.

“Selepas itu, panggilan disambungkan pula kepada Sarjan Zamini yang turut mendakwa mangsa terbabit aktiviti penggubahan wang haram serta dadah,” katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, talian itu pula disambungkan kepada Inspektor Salina yang meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank miliknya.

“Mangsa menyerahkan butiran perbankan Internet dan nombor TAC bagi tujuan semakan. Selepas talian diputuskan, mangsa menerima mesej pihak bank menunjukkan terdapat tiga transaksi pindahan wang ke dalam satu akaun berjumlah RM35,600,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, bagi kes kedua pula, seorang mekanik berusia 50 tahun kerugian RM9,600 selepas mendapat panggilan kononnya dari Jabatan Audit dan Jabatan Peguam Negara, semalam.

Menurut beliau, kejadian berlaku ketika mangsa berada di tempat kerjanya di Gebeng, sebelum menerima panggilan kononnya wakil dari Jabatan Audit Negara.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang kononnya dari Jabatan Peguam Negara.

“Suspek mendakwa waran tangkap sudah dikeluarkan kepada mangsa kerana butiran pengenalan pengadu terbabit dalam kes penggubalan wang haram,” katanya.

Katanya, suspek kemudian meminta butiran akaun mangsa dan menyuruh mekanik memasukkan wang berjumlah RM9,600 ke dalam akaun diberikan.

“Kedua-dua suspek kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 8:59 AM