Lelaki yang terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan patah pergelangan kaki kiri. FOTO Ihsan JIM Perak
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI Pakistan patah pergelangan kaki kiri selepas nekad terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan kediaman di Ipoh ketika cuba melarikan diri daripada dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak semalam.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, lelaki, 25, itu seorang daripada 21 warga asing yang diberkas dalam operasi bersepadu.

Menurutnya, operasi bermula 2 petang dan berakhir 7 malam itu membabitkan 10 pegawai dan 70 individu terdiri daripada pelbagai warganegara diperiksa.

“Berdasarkan maklumat orang ramai dan risikan, JIM Perak membuat serbuan di 11 lokasi sekitar Ipoh.

“Antara premis yang diserbu adalah pondok pengawal keselamatan, premis kediaman dan bangunan kedai serta pusat refleksologi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, daripada 70 individu yang diperiksa 21 orang berusia 21 hingga 52 tahun ditahan membabitkan lima lelaki Bangladesh, seorang lelaki dan empat wanita Indonesia serta dua lelaki dan seorang wanita Myanmar selain lapan lelaki Pakistan.

“Menurut maklumat awal yang diterima lokasi serbuan ini disyaki menggaji warga asing tanpa pas sah.

“Ketika serbuan dibuat di sebuah premis terdapat warga asing cuba melarikan diri dan nekad terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman empat tingkat itu sehingga menyebabkan pergelangan kaki kirinya patah,” katanya.

Kamalludin berkata, siasatan awal mendapati semua warga asing yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 11:23 AM