POKOK sekitar SK Ladang Mutiara musnah selepas seekor gajah liar memasuki kawasan itu. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


PENDUDUK Ladang Mutiara, Pekan Kahang, Kluang, gempar ketika menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Mutiara apabila mendapati sebahagian tanaman di sekolah itu rosak seperti dilanggar objek besar.

Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan di sekeliling kawasan sekolah, mereka mendapati kerosakan tanaman seperti betik dan kelapa disebabkan serangan gajah liar dipercayai masuk ke kawasan sekolah sekitar jam 3 hingga 4 pagi tadi.

Pekerja ladang, Hairi Taib, 46, berkata kejadian berlaku awal pagi tadi adalah kali pertama.

Katanya, hasil kesan ditinggalkan dipercayai hanya seekor gajah liar memasuki kawasan sekolah dan mungkin terpisah daripada kumpulannya yang biasanya melebihi lima ekor.

“Berikutan kejadian itu, pengurusan sekolah memaklumkan kepada Pejabat Daerah, Pejabat Pelajaran Daerah serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan susulan.

“Mereka turut memaklumkan pemilik ladang berdekatan supaya gajah liar dihalau keluar ke habitat asalnya di hutan simpan berhampiran,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya maklum dengan kejadian itu selepas menerima maklumat daripada penduduk.

Katanya, sepasukan anggota PERHILITAN Kluang dihantar menjalankan siasatan dan kawalan pada waktu malam kerana bimbang gajah berkenaan akan kembali ke kawasan itu.

“Selepas siasatan dilakukan, kami dapati gajah berkenaan kini bergerak ke kawasan Padang Hijau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 2:30 PM