PELAJAR SMIYT Kemaman muncul juara pertandingan AAY 2019 anjuran Yayasan PETRONAS menerusi projek CO2NCER sistem pengesan dan amaran kebakaran hutan. FOTO ihsan PETRONAS.
PELAJAR SMIYT Kemaman muncul juara pertandingan AAY 2019 anjuran Yayasan PETRONAS menerusi projek CO2NCER sistem pengesan dan amaran kebakaran hutan. FOTO ihsan PETRONAS.


“KAMI terkejut diumumkan juara, tak sangka boleh menang memandangkan semua peserta lain berjaya mempamerkan kehebatan masing-masing,” kata Ahmad Faris Wajdan Mohd Fadzil.

Peralatan inovasi mengesan kebakaran hutan dicipta sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) dinobat sebagai juara Yayasan Petronas Sentuhan Harapan All About Youth (AAY) 2019 di pertandingan akhir di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, kelmarin.

Ahmad Faris yang juga ketua kumpulan SMIYT berkata, dia bersama 20 rakan lain tidak menyangka projek dinamakan CO2NCER dicipta bagi membantu bomba mengesan kebakaran hutan berjaya mengalahkan empat sekolah lain dari Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka untuk pertandingan itu.

“Kami sangat terkejut alat dicipta dalam tempoh 11 minggu itu berjaya menambat hati juri sehingga muncul juara dan kemenangan ini adalah kemenangan buat semua.

“Ketika menyampaikan persembahan, kami akui sangat gementar kerana persaingan sangat sengit, namun kami menyampaikannya dengan baik.

Kami berterima kasih kepada guru pembimbing, sukarelawan Yayasan Petronas (Buddies) dan pihak sekolah kerana menyokong serta membantu sepanjang perjalanan kumpulan kami sehingga ke peringkat akhir,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM20,000 serta wang simpanan SSPN berjumlah RM1,000.

Manakala tempat kedua dimenangi SMK Tebobon (Sabah) yang membawa pulang RM10,000 dan ketiga disandang SMK Tun Habab (Johor) dengan hadiah RM5,000 .

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman berkata, sebanyak 50 sekolah dari lima negeri menyertai pertandingan terbabit dan setiap pasukan diberi modal permulaan bernilai RM1,000, alat kelengkapan teknologi bernilai RM1,250 serta bimbingan daripada sukarelawan PETRONAS bagi menjayakan projek.

Katanya, program itu sangat bermanfaat kepada komuniti dan persekitaran dengan bertemakan ‘Mengurangkan Pelepasan Karbon untuk Masa Depan yang Lebih Baik’.

“Kami mahu menjadikan perubahan iklim sebagai subjek perbualan dalam kalangan pelajar bagi mengasah kemahiran mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovatif untuk masa depan.

“Kami bangga melihat pelajar dapat mengaplikasikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam menawarkan penyelesaian untuk masa depan lebih cerah,” katanya.

Beliau berkata, dengan sokongan guru dan sukarelawan PETRONAS, pelajar terbabit berjaya menjadi inovasi dalam menawarkan penyelesaian praktikal untuk kesejahteraan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 10:22 PM