DR Ahmad Samsuri (dua dari kiri) melihat lembu selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban di Kampung Pulau Kerengga, Marang. FOTO Ghazali Kori.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KERAJAAN negeri Terengganu memberi peringatan kepada semua penternak supaya memastikan haiwan korban dijual untuk Aidiladha menepati piawaian ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata, pihaknya berharap penternak prihatin dalam memastikan keadaan haiwan peliharaan seperti lembu bakal dikorbankan berada dalam keadaan sihat dan tidak bermasalah supaya objektif ibadah korban dijalankan menepati kehendak Islam.

“Lembu dijual kepada penduduk ingin menjalankan ibadah korban perlu bebas daripada sebarang penyakit dan menepati syarat ditetapkan supaya ia tidak mengundang masalah kepada penerima daging korban nanti.

“Saya percaya semua pihak mengambil perhatian mengenai hal itu, penelitian dijalankan dalam segala aspek supaya haiwan peliharaan berada dalam keadaan baik sebelum dikorbankan.

“Jika ternakan tidak berada dalam keadaan baik, ia perlu dikecualikan daripada ibadah berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Bersempena Hari Raya Aidiladha 2019 di Kampung Pulau Kerengga, Marang.

Pada majlis itu, 22 lembu kampung Kedah Kelantan (KK) diserahkan kerajaan negeri kepada wakil penduduk di Kampung Pulau Kerengga.

Mengulas mengenai kebimbangan penduduk berhubung wabak virus’canine distemper’ yang tular selepas dijangkiti harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada 19 Julai lalu, Ahmad Shamsuri menasihatkan penduduk supaya tidak perlu berasa bimbang mengenai kes berkenaan berikutan ia hanya menjangkiti haiwan liar sahaja.

“Saya difahamkan penyakit itu hanya merangkumi hidupan liar seperti harimau dan sebagainya dan ternakan seperti lembu yang jauh dari hutan tidak terlalu terdedah dengan ancaman penyakit berkenaan.

“Justeru paling penting penternak perlu prihatin untuk memastikan kes lembu berpenyakit dan tidak memenuhi syarat korban tidak dijual kepada orang ramai.

“Perbuatan menjual lembu bermasalah pada musim sekarang tidak patut berlaku dan penternak dinasihatkan tidak mengambil kesempatan pada musim Aidiladha menjual ternakan bermasalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 11:49 PM