KEADAAN berjerebu di sekitar Kuantan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

asmaini @nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kawasan Johan Setia Klang, Selangor mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat jam 4 petang semalam.

Berdasarkan data di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Johan Setia Klang merekodkan bacaan IPU 104 berbanding 103 pada jam 12 tengah hari.

Manakala 67 lokasi lain di seluruh negara merekodkan bacaan IPU sederhana iaitu antara 51 hingga 98.

Selain itu, sehingga jam 4 petang semalam juga, tiada lokasi yang mencatatkan bacaan IPU pada paras baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh melayari http://apims. doe.gov.my untuk mengetahui maklumat IPU semasa yang dikemas kini setiap jam.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Dalam pada itu, semua pihak dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti di luar rumah.

Mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau paru-paru yang kronik hendaklah mendapatkan rawatan dengan segera jika keadaan bertambah buruk.

Penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat yang berhabuk termasuk yang dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi juga dinasihatkan supaya memakai penutup hidung dan mulut.

Selain itu, orang ramai juga diminta untuk menyalakan lampu kenderaan semasa memandu apabila keadaan berjerebu dan jarak penglihatan berkurangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 5:40 AM