Kereta dinaiki dua mangsa remuk selepas terjatuh ke dalam gaung malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Roji Kawi


SUAMI isteri maut selepas kereta dinaiki terbabas dan terjatuh ke dalam gaung kira-kira 50 meter di Kilometer 77, Jalan Kuching-Sri Aman, Serian malam tadi.

Kejadian pada 9.30 malam itu berlaku apabila Proton Saga FLX yang dipandu Recca Tutong Sabai, 35, hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, Recca tersepit di tempat duduk pemandu manakala isterinya, Mika Giang, 37, tercampak keluar dari kenderaan.

Beliau berkata, ketika kejadian pasangan itu dalam perjalanan dari arah Sri Aman menghala ke Serian.

“Suami isteri itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat,” katanya.

Aswandy berkata, siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu.

“Setibanya di lokasi didapati seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu manakala seorang wanita ditemui di luar kereta.

“Anggota kami menggunakan ‘rescue tool’ untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 10:12 AM