Ab Rahim bersama lembu ternakannya baka Limousine. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


“JIKA ada individu sanggup membayar ribuan ringgit untuk satu bahagian bagi menyempurnakan ibadah korban atau RM25,000 seekor, saya sanggup mengorbankan Merah,” kata penternak lembu sado, Ab Rahim Salleh, 74.

Ab Rahim berkata, lembu sado yang dipeliharanya baka Limousine diberi nama Merah kini berusia tiga tahun setengah dengan berat 1,300 kilogram (kg).

Haiwan itu akan dijual kepada sesiapa yang sanggup membelinya sama ada untuk ibadah korban atau majlis keraian.

Katanya, dia membeli Merah daripada penternak dan juga pembiak baka tiga tahun lalu dengan harga RM7,000 dan menganggap lembu baka itu terkenal dengan tabiat semula jadi garang namun masa sama boleh menjadi manja dengan orang dikenalinya.

“Untuk ibadah korban, harga seekor lembu baka ini agak lumayan dan jika ada individu sanggup, harga satu bahagian untuk ibadah korban boleh mencecah antara RM2,000 hingga RM3,000.

“Namun permintaan korban terhadap lembu baka yang mempunyai daging ‘mewah’ di negeri ini tidak banyak kerana harganya mahal tetapi ia menjadi pilihan masyarakat luar dari Kelantan seperti di Terengganu.

“Tidak mustahil satu hari nanti, lembu baka ini menjadi pilihan umat Islam untuk dibuat korban berdasarkan fizikalnya sado serta dagingnya banyak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tawang, Bachok semalam.

Katanya, umat Islam di Kelantan lebih memilih lembu tempatan yang beratnya antara 100 ke 300 kg untuk menjalankan ibadah korban.

“Selain saiznya yang tidak besar, harganya juga lebih murah iaitu antara RM3,000 hingga RM5,000 seekor bergantung harga pasaran sekali gus menjadikan harga satu bahagian korban antara RM600 hingga RM800,” katanya.

Bapa kepada enam anak, 18 cucu dan dua cicit itu berkata, dia menternak lembu lebih 20 tahun lalu dan lembu pertama dibeli adalah baka Limousine.

“Bagi memastikan semua ternakan berada dalam keadaan baik dan sihat selain mengelak dijangkiti penyakit berjangkit, saya mendapatkan khidmat suntikan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar setiap enam bulan sekali.

“Dua tahun lalu, saya menjual seekor lembu baka Limousine seberat 1,200 kg kepada peniaga daging dari Tok Uban, Pasir Mas berharga RM17,500.

“Kini selain mempunyai lembu baka Limousin, saya juga menternak empat ekor lembu baka Charolais yang berumur usia satu hingga tiga tahun,” katanya yang turut dibantu anak bongsu, Mohd Faizul Ab Rahim, 28.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 10:20 AM