GAMBAR kenangan Muhammad Fawwaz sebelum kejadian. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


“DOKTOR beritahu anak saya boleh pulih tetapi mungkin mengambil masa lama antara dua hingga tiga tahun,” kata Mohd Bukhari Zainal Annuar, 33, bapa kepada Muhammad Fawwaz Adli, 5, yang parah di bahagian kepala akibat dihempap peti ais, pada 12 Julai lalu.

Mohd Bukhari berkata, dia perlu memberikan sepenuh tumpuan menjaga anak sulung daripada tiga beradik itu berikutan tidak boleh bergerak dan berdiri kesan kecederaan itu.

Katanya, walaupun isteri Siti Khadijah Mohd Daud, 31, suri rumah, boleh membantu, tetapi mereka mempunyai anak kecil berusia lapan bulan yang perlu diberi perhatian.

“Kesan kecederaan dialami Muhammad Fawwaz agak serius hingga membuatkan dia tidak mampu bergerak dan berdiri seperti biasa. Makan pun perlu guna straw.

“Dia sudah menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dan perlu menjalani rawatan susulan selepas ini.

“Saya dan isteri tabah menghadapi dugaan ini dan berharap Muhammad Fawwaz dapat pulih seperti biasa,” katanya di Seremban, hari ini.

Dalam kejadian 12 Julai lalu, Muhammad Fawwaz mengalami parah di kepala selepas dihempap peti ais setinggi kira-kira 1.8 meter di rumah sewa keluarganya di Taman Cempaka, Nilai.

Muhammad Fawwaz dikatakan memanjat peti sejuk dibeli bapanya itu bagi kegunaan perniagaan sebelum tumbang dan menghempap kanak-kanak terbabit.

Mohd Bukhari yang berniaga air balang di pekan Nilai berkata, ketika ini dia dan keluarganya terpaksa menumpang di rumah mentua di Gedung Lalang Ampangan di Seremban, bagi memudahkan urusan anaknya mendapat rawatan susulan di HTJS.

Berita berkaitan

'Bangunlah Fawwaz...'

'Kanak-kanak parah ditimpa peti ais'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 3:15 PM