Amanah Raya

AMANAH Raya Berhad (AmanahRaya) berhasrat duduk semeja dengan Majlis Tanah Negara (MTN) dan membentuk satu jawatankuasa bagi meneliti semula cadangan Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98).

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Adenan Md Yusof menegaskan, perkara itu bertujuan membincangkan isu pentadbiran harta pusaka secara menyeluruh dan bukan hanya setakat memperluaskan bidang kuasa bagi memberi surat kuasa semata-mata dalam melantik pentadbir untuk menguruskan pembahagian harta pusaka waris si mati.

Adenan berkata demikian ketika mengulas cadangan pindaan akta itu yang mahu bidang kuasa nilaian pejabat pusaka ditingkatkan daripada RM2 juta kepada RM5 juta dan pada masa sama, syarat keperluan memiliki harta tidak alih dihapuskan.

Permohonan pusaka tidak alih itu pula boleh difailkan di mana-mana pejabat pusaka di negeri tempat harta berkenaan berada bagi memudahkan orang ramai memfailkan permohonan dan menyelesaikan masalah pembahagian pusaka.

Adenan Md Yusof
Adenan Md Yusof

Mengulas lanjut, Adenan melihat perkara itu sebagai tidak tepat dan perlu ada perbincangan untuk menentukan hala tuju semua industri yang terlibat dalam pentadbiran pusaka kerana sesetengah tindakan hanya akan menambah kerumitan dan mengelirukan masyarakat. Apatah lagi dengan sekadar pemberian surat kuasa, ia cuma selesaikan 25 peratus sahaja daripada keseluruhan proses pentadbiran harta pusaka.

“Menguruskan pentadbiran harta pusaka bukan mudah dan untuk membahagikan harta si mati dengan pelantikan pentadbir menggunakan surat kuasa sahaja tidak akan selesaikan segala masalah. Ini kerana, ramai pentadbir yang dilantik tidak faham atau tidak ada pengetahuan mendalam mengenai pembahagian harta pusaka, pentingkan diri sendiri, sudah tua, tidak larat turun naik pejabat berkaitan untuk menguruskan hal dokumentasi dan sebagainya.

"Itu belum lagi kes pentadbir mengambil semua harta termasuk tanah dan wang waris kerana beranggapan dengan pelantikan sebagai pentadbir sudah membolehkannya memiliki semua itu untuk kegunaan diri sendiri.

"Di sini, timbul kerisauan mengenai sejauh mana kepercayaan dan ketelusan pentadbir itu dari sudut agama bagi yang beragama Islam dalam membahagikan harta pusaka si mati kepada waris yang layak," katanya ketika ditemui di Wisma AmanahRaya, hari ini.

Menurutnya, hal-hal seperti itu juga menjurus kepada berlakunya kekeliruan pertindihan bidang kuasa dan fungsi di antara tiga institusi yang mengeluarkan surat kuasa bagi harta pusaka di Malaysia iaitu AmanahRaya, Bahagian Pentadbiran Pusaka JKPTG dan mahkamah.

Selain itu, konflik kepentingan pentadbir terutama dalam kalangan keluarga, penyelewengan wang waris, salah guna kuasa, perbalahan antara waris dan kematian berlapis juga menjadi faktor mengapa cadangan pindaan akta itu harus diteliti semula.

"Lihat sahaja apa yang berlaku di Kampung Baru. Banyak tanah di situ tidak dipindah milik lagi. Mengapa? Kerana hal-hal seperti inilah.

"Saya difahamkan, menerusi statistik dikeluarkan jabatan tanah sendiri terdapat RM60 bilion harta pusaka tidak dipindah milik lagi.

“Senario ini lazim berlaku dan akibatnya, proses pembahagian harta pusaka si mati menjadi lambat yang kadang-kadang boleh mengambil masa sehingga bertahun lamanya.

"Kasihan pada waris terutama jika mereka adalah anak-anak istimewa tergolong dalam orang kurang upaya (OKU). Siapa yang nak jaga hak dan kebajikan mereka sekiranya situasi ini berterusan?

Tambah menyedihkan, perkara seperti perbalahan dan tamak harta ini ia banyak terjadi dalam kalangan orang Melayu. Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk merujuk seterusnya melantik AmanahRaya sebagai pentadbir berhubung pentadbiran pusaka, pengurusan amanah dan perkhidmatan wasiat.

Ini kerana, selaku pentadbir AmanahRaya berperanan membantu dan memudahkan urusan pelanggan daripada mula sehingga selesai (hari pembahagian pusaka).

"AmanahRaya melaksanakan pentadbiran harta pusaka bukan setakat mendapatkan hak mentadbir tetapi kita tadbir sehingga selesai iaitu harta dapat dibahagikan kepada waris yang berhak. Pelanggan tidak perlu lagi bersusah payah ke sana ke mari uruskan hal dokumentasi atau ambil cuti berhari-hari untuk merujuk ke pihak berkaitan pusaka ini.

"Dengan kami, urusan anda dipermudahkan kerana kami mempunyai kepakaran dan bidang kuasa mentadbir pusaka secara terus dan melakukannya sehingga pembahagian harta itu selesai, dapat ke tangan waris yang sepatutnya.

"Fi atau caj pentadbiran yang dikenakan bagi perkhidmatan pentadbiran pusaka juga amat berpatutan iaitu satu hingga lima peratus daripada jumlah keseluruhan nilai harta.

"Bagi harta bernilai RM5,000 dan ke bawah, kami cuma mengenakan fi tidak melebihi RM150 sahaja kepada pelanggan," katanya.

Kesimpulannya, AmanahRaya membantu masyarakat dalam menyelesaikan pentadbiran harta pusaka dengan lebih efektif dan cepat iaitu dalam anggaran tempoh tiga hingga enam bulan.

"Keseluruhan pelanggan juga memberi maklum balas positif dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh kami.

"Setakat 31 Julai lalu, AmanahRaya sudah mentadbir lebih kurang 15,910 fail pusaka dengan anggaran nilai aset berjumlah RM1.3 bilion selain mengurus kira-kira 26,813 akaun Amanah dengan nilaian RM1.2 bilion.

"Bagi perkhidmatan wasiat pula, lebih 1 juta sudah didaftarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 3:47 PM