Amirudin ketika sidang DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor baru-baru ini. FOTO Sairien Nafis
Rafidah Mat Ruzki


SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak sebarang usul yang mahu dibahaskan.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, justeru isu bahawa beliau menyekat usul membabitkan penukaran agama bagi anak bawah umur seperti yang didakwa pembangkang tidak timbul.

“Sebagai Speaker, saya hanya terbabit dengan pengendalian Dewan seperti termaktub dalam Peraturan Mesyuarat.

“Usul kerajaan datang daripada pejabat Menteri Besar sebagai kuasa Eksekutif dan saya di pihak Legislatif tidak boleh menolak atau menerima usul berkenaan.

“Kalau usul persendirian dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Speaker mempunyai hak untuk mempertimbangkan sama ada luluskan atau ditolak sebelum dibawa ke Dewan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, empat ADUN DAP dan PKR dititah menghadap Sultan Selangor hari ini, dipercayai isu membabitkan pemelukan agama Islam yang sepatutnya dibawa Menteri Besar, Amirudin Shari pada sidang DUN Selangor minggu lalu.

Difahamkan, Amirudin cuba meminda enakmen negeri untuk mengubah perkataan berhubung penukaran agama bagi anak yang di bawah umur.

Ketika ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran ‘ibu dan bapa’.

Pindaan itu adalah untuk mengubahnya kepada ‘ibu atau bapa’.

Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan enakmen itu dipercayai dicadangkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta menerima sokongan Sultan Sharafuddin.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan ada gerakan untuk menyingkirkannya susulan isu berkenaan, Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan itu berkata, beliau tidak akan melayan khabar angin itu kerana beliau sudah bertindak mengikut Peraturan Mesyuarat Sidang DUN Selangor.

Pada masa sama, Suee Lim mengakui beliau mendengar khabar angin itu mulai bertiup selepas Sidang DUN Selangor ditangguhkan Rabu minggu lalu.

Berita berkaitan

Dua jam menghadap Sultan

4 ADUN Selangor dititah menghadap [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 4:06 PM