MUHAMMAD Nazri (kanan) berbual dengan bapanya, Mohammad Zani Said, 65, berikutan memerlukan kos RM70,000 apabila anaknya lelakinya menghadapi komplikasi jantung dan memerlukan pembedahan segera. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Shamsul Munir Safini


“PENDAPATAN saya dan isteri hanya RM2,000 sebulan, jadi kami buntu untuk mencari kos rawatan jantung anak berjumlah RM70,000,” kata Muhammad Nazri Mohd Zani, 25, selepas bayi lelakinya yang dilahirkan 5 Ogos lalu menghidapi komplikasi jantung dan memerlukan pembedahan segera.

Muhammad Nazri berkata, isterinya, Nur Zayani Mohamad Zaini, 22, selamat melahirkan anak sulung mereka pada 11 pagi, 5 Ogos lalu sebelum anaknya dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Katanya, isterinya melahirkan anak mereka dengan kaedah pembedahan lebih awal dari tarikh dia sepatutnya bersalin pada 28 Ogos.

“Ia berikutan keadaan isteri mengalami darah tinggi dan kencing manis menyebabkan doktor menasihatinya bersalin lebih awal kerana bimbang ia memberi kesan kepada kandungan.

“Isteri selamat dibedah dan melahirkan anak sebelum dia berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Muhammad Nazri berkata, pada 5 petang hari sama, dia sempat melihat anaknya di NICU sebelum doktor jantung memaklumkan bayinya itu bermasalah.

Menurutnya, doktor memberitahu saluran darah pada jantung anaknya terbalik menyebabkan pernafasan terbatas dan perlu menjalani pembedahan segera bagi memulihkannya.

Katanya, anaknya kini ditempatkan di NICU HSJ sebelum doktor menyarankan supaya mendapatkan nasihat daripada Pusat Rawatan Gleneagles Pulau Pinang mengenai komplikasi dialami bayinya itu.

“Saya bertemu dengan doktor di situ sebelum dimaklumkan anak boleh dirawat dan dibedah serta memerlukan kos rawatan berjumlah RM70,000.

“Pihak hospital ada meminta slip gaji serta penyata bank daripada saya bagi memohon dana bantuan bertujuan membiayai kos rawatan itu,” katanya.

Menurutnya, jika permohonan itu berjaya dan diluluskan, dia akan menerima keseluruhan dana, namun bergantung kepada permohonan.

Katanya, jika ia tidak diluluskan sepenuhnya, dia perlu menambah baki kos rawatan.

“Mana saya nak dapatkan baki kos rawatan, malah pendapatan saya dan isteri hanya RM2,000 sebulan kerana kami bekerja di kilang tisu di Nibong Tebal.

“Saya buntu, malah tidak menyangka kami akan diuji sebegini rupa selepas setahun berkahwin,” katanya.

Nazri berkata, dia dan isteri tinggal di Nibong Tebal dan saban hari selepas keadaan komplikasi anaknya itu, dia terpaksa berulang-alik menunggang motosikal dari HSJ untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, sesiapa yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 011-24178738 dan menderma di akaun Bank CIMB 08060082637528 atas nama Muhammad Nazri Mohd Zani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 5:49 PM