SAHRUDDIN Jamal. FOTO arkib NSTP
Mary Victoria Dass


PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad menyifatkan dakwaan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mahu meletak jawatan seperti tular di laman sosial sebagai tidak berasas.

Beliau berkata, isu yang ditularkan itu lebih berbentuk provokasi.

Menurutnya, isu berkenaan sengaja disebarkan bagi mengelirukan rakyat kerana mesejnya seolah-olah menggambarkan pimpinan Menteri Besar sedia ada lemah dan tidak dapat menangani masalah yang timbul.

“Sebaliknya beliau (Dr Sahruddin) amat komited meskipun ketika itu beliau baharu sahaja pulang menunaikan Umrah, beliau terus berada di lapangan bersama agensi berkaitan.

“Kami akan berbincang dengan Menteri Besar terlebih dahulu sama ada perlu membuat laporan polis.

“Sebenarnya, saya difahamkan oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), beberapa laporan polis sudah dibuat berkaitan beberapa artikel yang dikeluarkan sebelum ini oleh pemilik akaun Facebook.

“Oleh itu, saya berharap polis dan SKMM mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak tidak bertanggungjawab supaya menghentikan perbuatan mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan tujuh ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha oleh Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) di Masjid Jamek Tanjung Kupang, Gelang Patah, hari ini.

Hadir sama; Pengurus Besar CGPV, Ir Syarul Izam Sarifudin.


DZULKEFLY (empat kiri) bersama Syarul Izam (tiga kiri) dan penduduk Kampung Tanjung Kupang selepas majlis penyerahan lembu korban. FOTO Mary Victoria Dass

Program tahunan yang dianjurkan Forest City itu adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat sejak 2015.

Kesemua lembu korban itu diagihkan ke tujuh kampung di sekitar kawasan pembangunan Forest City iaitu Kampung Pekajang, Tanjung Adang, Kampung Pok, Kampung Tiram Duku, Kampung Simpang Arang (Ladang), Tanjung Kupang, serta Desa Paya Mengkuang.

Semalam, Dr Sahruddin menafikan beliau akan meletak jawatan sebagai ketua kerajaan negeri ini seperti yang tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 8:16 PM