Mohamad Hussin


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan melancarkan Pameran Segerak VIII: Utopia oleh seniman Yusof Ghani di Galeri Prima, Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Bangsar, Kuala Lumpur, malam ini.

Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim tiba di Galeri Prima pada 8.30 malam.

Selepas menandatangani buku pelawat, baginda berdua meluangkan masa hampir 30 minit menyaksikan 30 karya Yusof Ghani yang dipamerkan.

Selepas itu, baginda berdua turut melawat Jabatan Pengarang NSTP yang menempatkan bilik operasi Berita Harian (BH), New Straits Times (NST) dan Harian Metro.

Turut hadir mengiringi pasangan diraja ialah Pengerusi Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid dan Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Berita Editorial dan Operasi Media Prima, Mustapha Kamil Mohd Janor.

Menurut Yusof, sejak mula diperkenalkan pada 2004, Segerak telah berkembang menjadi pelbagai episod iaitu Segerak II, III, IV, V, VI, VII.

“Beberapa siri Segerak turut dipamerkan di luar negara termasuk di London, Madrid, Hong Kong dan kini episod terakhir, Segerak VIII: Utopia diadakan di Galeri Prima.

“Segerak membolehkan saya meneroka tokoh manusia sebagai simbol kehidupan yang kemudian berubah menjadi pernyataan abstrak untuk menggambarkan realiti kontras kemanusiaan.

“Pengamatan daripada pengalaman, perjalanan dan warisan saya sendiri adalah sumber tenaga, pergerakan dan ketegangan yang saya dapati melalui gabungan lukisan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Galeri Prima, Azlynn Aziz berkata, pameran Segerak VIII: Utopia bermula 1 hingga 18 Ogos ini menampilkan adegan seni dengan sirinya seperti Tari, Topeng, Wayang, Hijau, Segerak, Biring, Wajah dan Ombak.

Pameran berkenaan dibuka secara percuma kepada orang ramai mulai 10 pagi hingga 6 petang.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Galeri Prima di 03-2724 8300.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 11:13 PM
SULTAN Nazrin diiringi Yusof melihat Pameran Segerak VIII - Utopia di Galeri Prima. Hadir sama, Syed Hussian (kiri), Kamal (dua dari kiri) dan Ismail (kanan). FOTO Yusni Ariffin.