ABDULLAH (dua dari kiri) bersama pegawai menunjukkan bungkusan berisi syabu bernilai RM927, 000 di IPD Pasir Mas, semalam.
Syaherah Mustafa


PASIR MAS: Lima beranak ditahan selepas polis menemui syabu seberat 18,540 gram bernilai RM927,000 di belakang rumah di Kampung Banggol Kulim di sini, Selasa lalu.

Dalam operasi jam 11 malam, dua wanita warga Thailand yang juga saudara keluarga terbabit turut ditahan. Semua suspek berusia 17 hingga 53 tahun direman seminggu untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, operasi dijalankan Batalion 8 Pasukan Gerakan Awam (PGA 8).

“Ketika serbuan, semua suspek berada di ruang tamu dan pemeriksaan di dalam rumah tidak menemui barang salah.

“Pemeriksaan di luar rumah menemui guni berisi 18 bungkusan plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu di dalam semak 30 meter dari rumah mereka.

“Ini rampasan dadah terbesar diperoleh PGA 8 tahun ini,” katanya sebelum Majlis Serah Tugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Abdullah yang bakal bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan menyerahkan tugas kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusoh yang memangku tugas itu.

Menurutnya, pihaknya percaya dadah itu untuk pasaran luar negeri ini.

“Polis juga mengesan taktik terbaru sindiket yang tidak menyimpan stok di dalam rumah kerana tahu kebarangkalian hukuman ringan jika dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, semua suspek di reman seminggu bermula kelmarin sehingga 13 Ogos ini untuk siasatan mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 5:50 AM