BERUANG yang dilihat di FELDA itu, sebelum ini. FOTO Arkib NSTP
BERUANG yang dilihat di FELDA itu, sebelum ini. FOTO Arkib NSTP
Ramli Ibrahim


PENDUDUK FELDA Perasu, Gua Musang, boleh menarik nafas lega apabila beruang matahari yang dilihat merayau di penempatan mereka sejak minggu lalu sudah tidak kelihatan.

Salah seorang penduduk, Kamal Said, 59, berkata, sejak beberapa hari lalu, beruang itu sudah tidak kelihatan.

Katanya, mungkin haiwan liar itu masuk semula ke hutan berhampiran.

“Sebelum ini, mungkin beruang itu kelaparan dan mencari makan kawasan penempatan penduduk.

“Bagaimanapun, kami sudah tidak bimbang apabila haiwan itu sudah tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seorang lagi peneroka, Abdullah Kadir, 60, berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan sudah memasang perangkap di lokasi beruang itu ditemui.

“Selepas membuat aduan, pihak PERHILITAN terus datang untuk membuat siasatan dan memasang perangkap sekali gus dapat mengurangkan kebimbangan terhadap serangan haiwan liar itu.

“Bagaimanapun, kami tetap berwaspada bagi mengelakkan ancaman haiwan liar itu dan mengurangkan aktiviti masuk ke kawasan ladang,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, peneroka FELDA Perasu, bimbang apabila seekor beruang ditemui merayau di kawasan penempatan mereka sejak minggu lalu.

Penduduk terpaksa membawa parang ketika memasuki ladang sawit bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Pengarah PERHILITAN Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif dilaporkan berkata, pihaknya memasang perangkap dengan menggunakan umpan cempedak untuk menangkap beruang itu.

Berita berkaitan

Cempedak umpan beruang matahari

Beruang masuk FELDA Perasu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 12:29 PM
Digital NSTP Subscribe