Syaherah Mustafa


“INI antara lembu yang paling mahal pernah saya jual iaitu RM15,000. Ia sudah ditempah seorang individu dari Kuala Lumpur,” kata Abdul Hakki Che Ahmad, 35, pemilik lembu seberat 900 kilogram.

Lembu spesies American Brahman yang dinamakan Moo itu memiliki saiz yang sangat besar dan menarik ramai pembeli untuk ibadah korban sempena sambutan Aidiladha.

Abdul Hakki berkata, individu yang membelinya sudah membuat tempahan bersama 18 lembu dari pelbagai spesies miliknya seperti InduBrazil dan Kelantan-Kedah.

“Saya membeli dua lembu jenis American Brahman ini di Thailand dengan harga RM10,000 seekor dan tidak menyangka Moo menjadi popular kerana dikatakan lembu gergasi.


ABDUL HAKKI bersama 'Moo', gelaran kepada lembu jenis American Brahman miliknya yang bakal dikorbankan pada raya ketiga oleh pembeli dari Kuala Lumpur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Selepas saya membawa Moo menyertai beberapa program di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk dipamerkan kepada umum, ramai yang berminat untuk membelinya.

“Ia menjadi tarikan kepada kanak-kanak yang teruja dengan saiznya yang besar. Malah, lembu ini lebih tinggi dari orang saiz dewasa,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Tuku di Rantau Panjang, hari ini.

Menurutnya, penjagaan lembu spesies ini seperti lembu tempatan lain dengan diberi makan dedak ubi kayu dan kulit nanas.

“Lembu ini menjadi pilihan kerana dagingnya yang lebih lembut, sedap dan manis berbanding daging lembu biasa.

“Spesies lembu jenis American Brahman yang berusia dua tahun sudah memiliki berat 700 kilogram berbanding lembu biasa yang hanya mencecah 400 kilogram,” katanya yang menternak lebih 200 lembu sejak 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 12:38 PM