Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PENUNGGANG Grab Food terpaksa bergelut dengan dua lelaki yang cuba menyamun motosikalnya di Phileo Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

Kejadian pada 2.53 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan di kawasan berkenaan dengan menunggang motosikalnya Yamaha Y15zr atau lebih dikenali dengan ‘Ysuku’.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, dia didatangi dua individu yang dengan sebuah motosikal Yamaha 125z selepas mangsa tiba di hadapan bangunan di Phileo Damansara.

“Seorang daripada suspek terbabit kemudiannya meminta mangsa turun daripada motosikalnya sambil mendakwanya adalah motosikal miliknya yang dicuri dan ingin mengambilnya.

“Seorang lagi suspek datang dari arah belakang mangsa dan terus memukul kepalanya menggunakan besi pengunci motosikal menyebabkan mangsa bergelut untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Mohd Zani berkata, seorang lagi suspek cuba melarikan motosikal mangsa tetapi dia sempat menendangnya hingga jatuh sebelum lelaki terbabit melarikan diri.

“Berdasarkan maklumat, saksi di lokasi kejadian ada melihat suspek membawa parang di belakangnya.

“Mangsa mengalami kecederaan di telinga, kepala, badan belakang dan mulut.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian kerana berjaya menyelamatkan motosikalnya dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan, manakala kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 7:59 PM
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa (kanan) didatangi dua suspek yang bermotosikal di Phileo Damansara, Kuala Lumpur hari ini. Foto Ihsan Pembaca