POKOK tumbang di sekitar Pulau Pinang akibat ribut. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
BERNAMA

TIGA pusat pemindahan dibuka di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Georgetown selepas 71 mangsa ribut dan hujan lebat di Pulau Pinang terpaksa dipindahkan berikutan rumah mereka rosak akibat angin kencang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, sehingga 8.30 pagi ini, seramai 22 orang daripada empat keluarga ditempatkan di pusat pemindahan Masjid Kuala Juru di SPT.

“Satu lagi pusat pemindahan di Dewan Kafa Kuala Juru di SPT menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga, manakala 40 penduduk Mutiara Idaman Satu di George Town dipindahkan ke pusat pemindahan Masjid Hashim Yahya,” katanya di Butterworth, hari ini.

Katanya, dua penunggang motosikal turut cedera dalam kejadian ribut itu menjadikan enam mangsa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya dan seorang di Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata, dua lelaki itu cedera selepas ditimpa pokok semasa sedang menunggang motosikal masing-masing di Juru dan Georgetown.


KHEMAH kedai makanan musnah selepas dilanda angin kencang serta ribut di Bayan Baru, Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.

Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkata, pihaknya menerima laporan 128 pokok tumbang membabitkan 98 lokasi di kawasan tanah besar dalam kejadian ribut yang melanda negeri itu.

“Daripada jumlah ini, lima batang pokok tumbang dan menghempap rumah penduduk. Tiga pokok tumbang di kawasan lapang, manakala 120 batang pokok membabitkan halangan lalu lintas termasuk tiga yang menghempap kereta,” katanya.

Beliau berkata kejadian ribut ini juga sudah menyebabkan kerosakan bahagian bumbung hampir 206 rumah di kawasan Seberang.

Menurutnya, kejadian ribut yang berpunca daripada ekor taufan Lekima yang membadai timur negara China, menyebabkan taburan hujan 53 milimeter dengan kelajuan angin 100.8 kilometer sejam dan berlaku antara 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.

“Tiada kejadian banjir dilaporkan berlaku dan petugas MPSP giat menjalankan kerja-kerja pembersihan sejak 10.30 malam tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 11:03 AM