KEADAAN jerebu di Bandaraya Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KAWASAN Miri di Sarawak mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) bahaya sejak jam 2 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Berdasarkan maklumat dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tertinggi diambil dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri mencatatkan bacaan antara 307 hingga 392.

Kawasan lain seperti Johan Setia di Klang dan Sekolah Kebangsaan Baram di Sarawak mencatatkan IPU tidak sihat masing-masing 109 dan 134 sehingga jam 12 tengah hari ini.

Kawasan lain di seluruh negara bagaimanapun mencatatkan bacaan IPU sederhana sejak pagi hingga tengah hari ini.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan bacaan IPU terkini yang dikemas kini setiap jam, orang ramai boleh melayari http://apims. doe.gov.my.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 2:42 PM