Rosziati tidak dapat menahan kesedihan di pusara dua anaknya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Yong Peng, hari ini. Foto Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


SUASANA pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Yong Peng ketika jenazah dua beradik yang maut dalam kemalangan meragut enam nyawa di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ), Jelatang di Melaka, semalam tiba untuk dikebumikan.

Jenazah Alia Azahar, 17, dan Alissa Azahar, 15, tiba di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Yong Peng pada 8.15 malam untuk disolatkan.

Terdahulu, kedua-dua jenazah itu dibawa menaiki dua van jenazah Jabatan Forensik Hospital Melaka selepas selesai proses bedah siasat kira-kira 6.30 petang.

Selepas selesai solat jenazah yang diimamkan Imam Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Qurrotu Akyun Daud, kedua jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan dan selamat dikebumikan pada 9.30 malam.

Kira-kira 100 ahli keluarga, saudara, rakan sekolah dan jiran dua beradik itu hadir di masjid dan tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Turut kelihatan di masjid dan tanah perkuburan, ibu kepada dua beradik itu, Rosziati Muktar, 36; bapa tiri, Mohd Ashaari Arsyad, 34, serta nenek, Zaleha Nikmat, 62.

Difahamkan, bapa dua beradik itu, Azahar Ahmad, 57, dan ibu saudara mereka, Habibah Ahmad, 62, yang turut terkorban dalam kemalangan terbabit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Pering, Brisu, Alor Gajah petang tadi.

Ibu tiri mereka, Halimahtun Aris Padzil, 24, juga meninggal dunia dalam kemalangan itu dikatakan kini dalam perjalanan dibawa pulang ke Perak untuk dikebumikan.

Berita berkaitan

6 maut, 1 parah

[UPDATE] 5 sekeluarga maut tersepit

Berkali-kali salam ibu

Tiada lagi telatah Alia dan Alissa

Nasihat terakhir ayah... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 10:44 PM