LIF yang rosak selepas terhempas dari tingkat lima di Blok C, PPR Kerinchi, Kuala Lumpur masih belum boleh digunakan penduduk.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KUALA LUMPUR: Trauma. Itu perasaan yang menyelubungi penduduk pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi susulan kejadian lif terhempas dari tingkat lima di blok C pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, 2 Ogos lalu.

Tinjauan Metro Ahad semalam mendapati lif yang terbabit dalam kejadian di pangsapuri 17 tingkat itu masih belum dapat digunakan penduduk yang kini hanya bergantung kepada dua lif untuk turun dan naik ke kediaman masing-masing.

Penduduk, Mohd Azim Mohd Efendi, 24, berkata, kejadian pada petang Jumaat itu memberi kesan kepada penduduk hingga ada antara mereka rela menggunakan tangga.

Namun, bagi penduduk yang tinggal di aras yang tinggi, penggunaan lif tidak dapat dielakkan terutamanya mereka yang berusia atau berdepan penyakit serius.

“Kini, lif semakin padat terutama pada waktu pagi dan petang sehingga perlu menunggu giliran yang lama.

“Saya berharap lif yang rosak ini dapat dibaiki segera, manakala lif sedia ada perlu diselenggara dengan kerap bagi mengelak kejadian sama daripada berulang dan membahayakan keselamatan penduduk,” katanya.

Pesara, Mohd Idrus Mohd Nor, 63, berkata, penggunaan lif menjadi keperluan utama penduduk tidak kira usia dalam urusan seharian.

Katanya, penggunaan yang tinggi terutama pada waktu puncak menyebabkan ada penduduk sanggup berhimpit di dalam lif kerana tidak mahu menunggu giliran lama.

“Sudah tiba masa lif di pangsapuri PPR ini diselenggara lebih kerap atau ditukar kepada lif tahan lasak supaya tidak mudah rosak kerana kapasiti penggunaan yang tinggi.

“Kejadian baru-baru ini memberi kesan kepada penduduk namun kami tiada pilihan kerana perlu menggunakannya setiap hari untuk urusan seharian terutama mereka yang berusia,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, lif berkenaan menggelongsor pada ketinggian 15 meter menyebabkan lapan cedera akibat sistem brek tidak berfungsi.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dalam pertemuan bersama sembilan syarikat yang bertanggungjawab mencadangkan penggunaan lif tahan lasak sebagai langkah penambahbaikan dalam aspek penyelenggaraan lif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:30 AM