PENDUDUK bergotong-royong melapah lembu itu. Mohamad Hazli Ismail
LEMBU berkenaan. FOTO Mohamad Hazli Ismail
Fuad Hadinata Yaacob


MASJID Al-Falah Kampung Betong, Jeneri, Sik, Kedah menampilkan kelainan pada ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini dengan menyembelih lembu jenis Charolais.

Apa yang menarik, lembu digelar lembu sado itu adalah saiznya yang besar dengan berat satu tan.

Penyelaras korban masjid itu, Ustaz Mohamad Hazli Ismail, 43, berkata, lembu berharga RM16,000 itu mempunyai daging banyak dan lembut.

Katanya, setiap tahun masjid itu menyembelih haiwan ternakan yang berbeza.

“Tahun lalu lembu jenis Brahman antara haiwan korban manakala pada 2017, kerbau sapi juga dengan berat satu tan.

"Lembu Charolais baka Calorie Lunapac ini berusia dua tahun lima bulan dan difahamkan pernah mendapat naib johan dan johan pertandingan lembu sado sebelum ini," katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kulliyyah Usuluddin dan Sains al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) berkata, lembu itu dibeli penduduk kampung berkenaan daripada pemiliknya di Pokok Sena.

Menurutnya, selain lembu sado terbabit, tiga lagi haiwan ternakan yang dikorbankan tahun ini adalah seekor lembu biasa dan dua ekor kerbau.

Katanya, cabaran menyembelih lembu Charolais itu adalah saiz yang besar menyukarkan haiwan itu ditumbangkan.

“Cabaran lembu jenis ini bermula ketika memindahkan haiwan itu daripada pemiliknya ke masjid ini.

“Bagaimanapun kerjasama dan bantuan penduduk memudahkan proses ini termasuk korban," katanya.

Menurutnya, dengan berat lembu itu satu tan, daging korban haiwan itu diagihkan kepada lebih 500 penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 11:45 AM