PETUGAS media berkongsi juadah bersama anggota SAR. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


PETUGAS media yang membuat liputan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban, menyambut Aidiladha di lokasi kejadian.

Beberapa petugas media tempatan membawa juadah raya seperti rendang, lemang, nasi impit dan kuih raya di lokasi.

Juadah itu turut dikongsi bersama petugas media antarabangsa dan anggota SAR yang bertugas di depan pintu pagar ke resort berkenaan.

Lebih 20 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di kawasan berkenaan bermula jam 9 pagi sebaik selesai solat sunat Aidiladha di Masjid Kariah Pantai.

Petugas media bagaimanapun dihalang memasuki kawasan resort itu sejak hari pertama operasi dan hanya boleh menunggu di khemah disediakan di hadapan pagar masuk.

Operasi SAR memasuki hari kelapan hari ini, dan pencarian dilakukan di kawasan sekitar membabitkan empat kilometer persegi.

Seramai 317 anggota termasuk pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komando VAT 69 terbabit dalam operasi berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 2:24 PM