PENGHANTAR makanan membantu mengangkat mayat rakan mereka selepas terbabit kemalangan di Klebang. FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Nur Saliawati Salberi


SEORANG penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangi terhumban ke dalam longkang di Jalan Klebang, Melaka, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang, Shaiful Fahmi Ahmad, 34, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan ketika kejadian, bapa kepada dua anak perempuan berusia empat tahun dan 11 bulan dalam perjalanan menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.

Rakan mangsa, Mohd Nor Hazri Mohd Amin, 26, berkata sepanjang tiga bulan mengenali mangsa, dia seorang baik dan senang bergaul.

Katanya, Shaiful baru tiga bulan bekerja sebagai penghantar makanan dan seorang yang bekerja keras.

“Tiada apa yang lain, semalam, ketika di rumah berjumpanya pun seperti biasa sahaja.

“Tetapi kebelakangan ini agak pelik apabila dia akan bangun antara jam 4 atau 5 pagi untuk ke bilik dan melihat kami yang tengah tidur,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, malam tadi.

Katanya, jenazah rakannya akan dikebumikan di kampung halamannya di Felda Tenggaroh 3, Mersing, Johor.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah pusat bandar menghala ke Klebang.

“Kemalangan dikatakan berlaku apabila mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terhumban ke dalam longkang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Melaka bagi proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:40 PM