AHMAD menyusun serpihan kayu rumahnya selepas runtuh akibat dipukul ribut di Kampung Sempering. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


MANGSA ribut yang kediamannya musnah di Kampung Sempering, Santan, kelmarin menyambut Aidiladha tahun ini dengan suasana sedih.

Malah, bagi Ahmad Kancil, 73 mendakwa hanya ke masjid untuk solat sunat Aidiladha dan terus pulang ke rumah anaknya sambil memikirkan nasibnya yang kini tidak mempunyai rumah tetap.

“Kalau nak diikutkan, saya bersama isteri (Rohani Saad, 56) mahu menyambut Aidiladha di rumah kerana saya baru mendudukinya selama 21 hari sebelum musnah.

“Malah baju raya kami pun masih berada bawah timbunan kayu dinding rumah selepas roboh dipukul ribut,” katanya ketika ditemui di tapak rumahnya di Kangar.

Menurut Ahmad, isterinya tidak sanggup pulang ke kediaman mereka kerana terlalu sedih melihat keadaan rumah.

“Dia tak sanggup nak balik mai tengok (keadaan rumah), nanti dia menangis sebab dia adalah saksi ketika rumah kami ranap, kelmarin.

“Sekarang dia berada di rumah saudara sebab kami menumpang tidur di sana dan masih belum bersedia untuk pulang ke rumah,” katanya.

Ahmad berkata, dia merancang membina pondok sebesar garaj kereta berdekatan dengan tapak rumahnya yang runtuh sebagai tempat tidur sementara menanti bantuan.

“Itu saja yang kami mampu, sekurang-kurangnya tidak menyusahkan orang lain di samping malu untuk menumpang tidur di rumah orang,” katanya.

Dalam kejadian ribut berlaku jam 8.30 malam, kelmarin, Ahmad dan Rohani sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum angin kencang dan hujan lebat melanda dan meranapkan rumah mereka.

Dalam kejadian itu, Ahmad mengalami kecederaan ringan di tangan kiri dan kini sehelai sepinggang berikutan barangan keperluannya masih berada di bawah timbunan kayu runtuhan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:52 PM