Raja Noraina Raja Rahim


POLIS sudah memeriksa lebih 30 rumah di sekitar kawasan Pantai, Seremban susulan kes kehilangan Nora Anne Quoirin, 15.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, ia sebahagian usaha mencari remaja warga Ireland itu yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Menurutnya, kes kehilangan seumpama itu tidak pernah terjadi dalam tempoh 10 tahun lalu di kawasan terbabit, hanya beberapa kes orang sesat di Gunung Berembun.

“Sejak resort ini wujud 10 tahun lalu, polis tidak pernah menerima laporan kes kehilangan orang dan kejadian ini kali pertama berlaku.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dan hari ini operasi membabitkan 296 anggota termasuk orang awam.

“Kita tidak meletakkan tempoh tertentu untuk menamatkan operasi dan berharap mangsa dijumpai segera,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai hari ini.

Terdahulu, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz mencemar duli mengunjungi Balai Polis Pantai bertemu anggota yang bertugas pada Aidiladha dan menyampaikan sumbangan 350 bungkusan yang diedarkan kepada anggota SAR.

Selain baginda, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor turut melihat sendiri perjalanan operasi dan menziarahi keluarga mangsa bagi menyampaikan rasa simpati serta memberikan kata-kata semangat dalam menghadapi situasi itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, polis mewujudkan hotline khas bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kes kehilangan Nora Anne itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nora Anne boleh menghubungi bilik gerakan Op SAR di talian 0111-2285058.

Malah beliau berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada pengusaha resort untuk menghentikan aktiviti di kawasan rekreasi dan Gunung Berembun yang terletak berhampiran.

“Kita tak pernah keluarkan arahan larangan mendaki. Mereka boleh teruskan aktiviti dan mungkin ada yang mendaki gunung itu terserempak dengan mangsa sekali gus dapat membantu anggota SAR.

“Sukarelawan juga dialu-alukan menyertai operasi SAR bersama pasukan keselamatan dalam usaha mengesan mangsa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 7:00 PM
    Mohamad menunjukkan nombor talian hotline untuk dihubungi pada sidang media di Balai Polis Pantai hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman