GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh


LELAKI ditahan selepas menyerah diri kerana tertembak adiknya sendiri sehingga terbunuh dalam kejadian di hutan Sabindo Plantation, Ulu Pangas, Apin-Apin, Keningau, kelmarin.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, suspek berusia 41 tahun tertembak adiknya yang berusia 35 tahun ketika sedang berburu di hutan.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, dua beradik terbabit masuk ke hutan sejak Khamis lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek tertembak adiknya menggunakan senapang buatan sendiri jenis bakakuk.

“Selepas kejadian, suspek menghantar mayat mangsa ke Hospital Keningau sebelum bertindak menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan kejadian, Shahrudin berkata, suspek ditangkap dan bakakuk serta peluru yang digunakannya turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal, suspek tidak mempunyai lesen senjata api yang sah.

“Beberapa sampel diambil di tempat kejadian manakala pakaian mangsa dan suspek ketika kejadian juga turut diambil untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, siasatan masih diteruskan dan setakat ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 8:51 AM