MAYAT dihantar ke hospital untuk bedah siasat. FOTO ihsan bomba
Mohd Sabran Md Sani


DUA maut manakala tiga cedera selepas rumah kedai dua tingkat dihuni sebuah keluarga musnah dalam kebakaran di Jalan Indah 8/15, Taman Bukit Indah di Iskandar Puteri, hari ini.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Inggai Bakau berkata, seramai 28 anggota bersama enam jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 4.34 pagi.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri menerima panggilan kecemasan membabitkan kebakaran rumah kedai menjual barangan pembinaan.

“Enam jentera dari BBP Iskandar Puteri, BBP Larkin dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat,” katanya hari ini.

Katanya, lima mangsa terbabit dalam kebakaran itu dengan dua maut dan tiga cedera.

“Seorang lelaki berusia 40-an dan wanita 30-an diselamatkan anggota bomba dan diserahkan kepada ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

“Seorang kanak-kanak berusia enam tahun dihantar ke sebuah hospital swasta oleh orang awam.

“Dalam kebakaran itu, wanita berusia 20-an dan warga emas wanita berusia 70-an meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, bomba menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya operasi ditamatkan pada 5.15 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 11:30 AM