KAWASAN perumahan di Senadin dan Kuala Baram yang terjejas asap dari tempat kebakaran di sebelah Jalan ke Kambatan Asean Miri. FOTO Ihsan Bomba
BERNAMA

KEADAAN jerebu di kawasan SK Kuala Baram 2, Miri, hari ini, berada pada skala bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya, dengan catatan IPU 317 setakat 11 pagi, mengikut data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Kawasan itu terjejas dan berada dalam tahap berbahaya sejak 10 pagi dengan bacaan IPU 302 dan mula berada pada tahap sangat tidak sihat sejak 8 pagi ini dengan catatan IPU 242 dan meningkat kepada IPU 282 pada 9 pagi.

Jerebu di ILP Miri, Sarawak pula berada pada skala bacaan IPU sangat tidak sihat, dengan catatan IPU 296 setakat 11 pagi ini.

Ia selepas kawasan itu berada dalam tahap berbahaya sejak 11 pagi semalam dengan bacaan IPU 380 dan mencapai bacaan kemuncak IPU 396 pada 6 petang semalam.

Sementara itu, jerebu di Sibu berada dalam tahap tidak sihat apabila menunjukkan bacaan IPU 118 pada 11 malam tadi dan menunjukkan peningkatan ketara pada 11 pagi ini dengan bacaan IPU 170.

Sri Aman turut berada dalam tahap tidak sihat sejak 4 pagi ini dengan bacaan IPU 107 dan menurun kepada IPU 102 pada 11 pagi.

Data keseluruhan menunjukkan keadaan semasa jerebu seluruh Malaysia dengan 63 kawasan berada dalam tahap sederhana, tiga kawasan berada dalam tahap tidak sihat dan masing-masing satu kawasan sangat tidak sihat dan berbahaya.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100, sederhana; 101-200, tidak sihat; 201-300, sangat tidak sihat dan melebihi 300, berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 12:45 PM