Lee Lam Thye mendedahkan namanya turut digunakan sindiket bagi mendapatkan wang daripada pegawai tertinggi organisasi dipengerusikannya. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Irwan Shafrizan Ismail


YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bimbang dengan taktik licik sindiket Macau Scam yang menggunakan pelbagai kaedah baharu dan peranti terkini bagi memperdaya mangsa.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye mendedahkan, namanya turut digunakan sindiket bagi mendapatkan wang daripada pegawai tertinggi organisasi yang dipengerusikannya.

“Sebenarnya Macau Scam ini berlaku setiap hari dan mangsa mereka termasuk pegawai kerajaan dan suri rumah.

“Pelajar dan mereka yang berpendidikan tinggi juga kerap ditipu walaupun kebanyakan mangsa adalah mereka yang berpencen kerana mempunyai wang simpanan di dalam bank,” katanya.

Beliau berkata, apa yang membimbangkan adalah kebolehan sindiket berevolusi menggunakan pelbagai taktik terbaru serta peranti terkini untuk menjadikan penipuan mereka sangat licik dan meyakinkan.

“Saya sendiri sudah membuat laporan polis apabila nama saya digunakan oleh sindiket untuk mendapatkan wang daripada pegawai tertinggi organisasi yang saya pengerusikan.

“Sindiket itu menghubungi mangsa menggunakan emel yang seolah-olah datang daripada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas isu penipuan jenayah siber terutama sindiket Macau Scam di negara ini.

Baru-baru ini akhbar melaporkan kerugian yang dilaporkan akibat jenayah siber mencecah RM309.67 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, perkembangan itu menunjukkan penipuan dalam talian di negara ini seperti belum reda.

Selain itu Lam Thye berkata, menyedari betapa serius masalah itu, MCPF menerusi Jawatankuasa Keselamatan Siber dipengerusikan Prof Mohamad Fauzan Noordin akan berusaha mencari jalan menangani masalah dengan lebih berkesan.

“Jawatankuasa ini akan merancang pelbagai program dan aktiviti yang boleh meningkatkan kesedaran mengenai Macau Scam dan pelbagai penipuan menggunakan pelbagai cara terbaru.

“Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati dan sentiasa berkongsi maklumat dengan ahli keluarga dan rakan jika dihubungi sindiket terbabit selain membuat laporan polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 3:50 PM