Keadaan belakang mangsa selepas diserang tujuh lelaki. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan belakang mangsa selepas diserang tujuh lelaki. FOTO Ihsan PDRM
Norasikin Daineh


HANYA kerana berebut teman wanita, remaja cedera selepas dibelasah sekumpulan lelaki di lorong belakang sebuah kedai serbaneka di Sri Perdana, Lahad Datu semalam.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, mangsa lelaki berusia 19 tahun dipukul tujuh lelaki sehingga menyebabkannya cedera kepala dan mulut selain sakit di bahagian belakang badan serta pinggang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa turun dari tangga rumah sewanya dan mahu masuk ke dalam kereta.

“Tiba-tiba mangsa didatangi tujuh lelaki yang tidak dikenali dan terus memukulnya di bahagian kepala, mulut dan belakang badan.

“Ketika kejadian, sepupu mangsa ternampak ada suspek memegang pisau. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan bengkak pada anggota badan yang dipukul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata, susulan kejadian itu pada 1 pagi tadi, di hadapan sebuah rumah di Taman Aman lima suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu ditahan.

“Semua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 25 tahun dan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perebutan teman wanita.

“Difahamkan, mangsa dan salah seorang daripada suspek masing-masing mengaku wanita yang direbut adalah teman wanita mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Nasri berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 4:19 PM