Ab Rahim kini dirawat di Turki dan memerlukan RM400,000 untuk menampung kos rawatan serta membawanya pulang. FOTO Ihsan Keluarga
Ab Rahim kini dirawat di Turki dan memerlukan RM400,000 untuk menampung kos rawatan serta membawanya pulang. FOTO Ihsan Keluarga


“PELBAGAI usaha sudah kami lakukan termasuk melakukan kerja sampingan dengan berniaga ikan bilis, tudung dan menjual barangan terpakai.

“Malah ada antara kami cuba membuat pinjaman peribadi daripada bank bagi membawa baba (ayah) pulang ke Malaysia,” kata Muhamad Fikri Aziz, 33.

Muhammad Fikri adalah menantu kepada bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Ab Rahim Ismail, 62, yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), Kuala Lumpur.

Ab Rahim kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Jantung (CICU) di Pamukkale Hospital University, Denizle, Turki.

Muhamad Fikri berkata, dia serta ahli keluarga lain sedang mengumpul wang selain mengharapkan sumbangan rakyat negara ini bagi mencukupkan jumlah RM400,000 seperti diperlukan.

“Sehingga kini RM125,000 berjaya dikumpul melalui sumbangan orang ramai, saudara mara, rakan terdekat dan juga lawan web Kitafund bagi menampung kos rawatan dan membawa baba pulang ke Malaysia.

“Hari ini hari ke-29 baba dirawat di ICU hospital terbabit dan masih dilaporkan tidak sedarkan diri.

“Jumaat lalu, baba menjalani pembedahan tebukan di kerongkong (tracheostomy) bagi membolehkan dia bernafas selain mengelak jangkitan pada bahagian salur pernafasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, sejak Harian Metro melaporkan kisah bapa mentuanya sumbangan daripada pelbagai pihak semakin bertambah.

“Ayah Ainul Mardhiah (Ahmad Safiuddin Ahmad Razak) juga turut membantu dengan memuat naik status mengenai perkara ini di laman sosialnya.

“Kami tidak mengenali mereka secara peribadi, hanya ikuti perkembangan Ainul di media sosial dan laporan berita.

“InsyaAllah saya akan bertemunya dan melawat Ainul Mardhiah minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Fikri berkata, bapa mentuanya aktif dalam melakukan ibadat korban di Lombok dan Kemboja.

“Setiap tahun, kami dan ahli keluarga berkumpul menyambut Aidiladha di Kemaman, Terengganu.

“Namun tahun ini, perayaan ini disambut sederhana dengan majlis solat hajat dan bacaan Yasin untuk baba,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 512268522574 milik Muhamad Fikri yang bertindak sebagai pemegang amanah.

Terdahulu, Ab Rahim yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), Kuala Lumpur dilaporkan mengalami serangan jantung.

Kepalanya terhentak di lantai menyebabkan berlaku kecederaan di bahagian otak dan dilaporkan tidak sedarkan diri sehingga kini.

Berita berkaitan

Bekas pensyarah UKM koma di Turki

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 5:27 PM