BANGKAI anjing yang ditemui mati dengan tertusuk dua anak panah. FOTO Facebook
Hamzah Osman


POLIS mencari individu yang dipercayai memanah anjing sehingga mati di kawasan lot rumah kedai di Dayang Bay di Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang penduduk pada 4.54 petang berhubung kejadian itu.

“Wanita itu mendakwa menerima kiriman gambar daripada kenalannya memaklumkan anjing mati dipanah di kawasan lot kedai yang belum berpenghuni.

“Gambar itu dipercayai menjadi tular selepas dimuat naik oleh pengguna Facebook dikenali Choo WS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati bangkai anjing itu ditemui mati dipercayai akibat tertusuk dua anak panah.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan tempat kejadian yang boleh digunakan bagi membantu siasatan.

“Sehingga kini tiada saksi yang tampil memberi maklumat dan polis sedang berusaha mengesan Choo WS bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, bangkai anjing dibawa ke Klinik Haiwan Chenang untuk bedah siasat memandangkan tiada Pegawai Veterinar bertauliah di pulau itu.

“Polis belum dapat kepastian sama ada anjing itu adalah peliharaan ataupun liar kerana tiada pihak membuat laporan kehilangan haiwan peliharaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) (d) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.


POLIS melakukan siasatan kes bangkai anjing yang ditemui mati dengan tertusuk dua anak panah di Dayang Bay, Langkawi. FOTO Facebook

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 6:55 PM