Wakil Muslim Care bersama komuniti Dar es Salaam pada upacara korban di negara itu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


“SUBHANALLAH...seumur hidup saya tidak pernah melihat kambing dikorbankan serentak sebanyak ini,” kata imam Masjid Kifuru, Dar es Salaam, Tanzania, Rajab Khamis, 55.

Menurutnya, upacara korban sempena Aidiladha membabitkan 80 ekor kambing sumbangan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) dan Sinar Korban Services semalam disifatkan rahmat besar buat komuniti Islam terpencil di negara miskin itu. “Rata-rata penduduk di kampung Mwanzo Mgumu di sini, adalah penduduk daif yang tidak mampu membeli daging kambing atau lembu.

“Kebiasaannya mereka hanya memakan roti dan sup sayur. “Kambing disumbangkan oleh rakyat Malaysia ini mampu diagihkan kepada ribuan penduduk kampung ini termasuk penghuni kampung berjiran serta sekolah tahfiz terpilih,” katanya terharu.

Dia yang tidak henti melafazkan rasa syukur atas pemberian itu menyifatkan misi ibadah korban hasil sumbangan rakyat Malaysia itu besar ertinya buat mereka.

Wartawan yang turut serta pada program itu mendapati kira-kira 60 penduduk kampung berkenaan berkumpul berhampiran masjid dengan masing-masing membawa pisau. Malah mereka dilihat teruja untuk menjalankan upacara sembelih dan melapah daging korban beramai-ramai di kawasan lapang berhampiran masjid itu.

Tiada bunyi hiruk pikuk atau jeritan berikutan semua penduduk dilihat fokus dan berusaha menyelesaikan tugas melapah daging korban dengan segera.

Kelibat beberapa lelaki puak Masai yang turut membantu mempercepatkan proses melapah daging korban itu turut menarik perhatian berikutan susuk tubuh mereka yang tinggi serta memakai pakaian tradisi.

Upacara korban bermula 9 pagi itu berjaya diselesaikan tidak sampai dua jam sebelum semua kambing itu disusun untuk tujuan pengagihan.

Sementara itu Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan gembira apabila berjaya melaksanakan amanah diberikan rakyat Malaysia yang menyumbang wang untuk Misi Ibadah Korban Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) di Tanzania.

“Muslim Care Malaysia turut mengadakan misi sama ( korban lembu dan kambing ) membabitkan 14 negara lain.

“Ini kali pertama Muslim Care mengadakan program ibadah korban di Tanzania dan ia akan diteruskan.

“Kebanyakan penduduk Islam Tanzania adalah golongan daif dan kemiskinan mereka kurang didedahkan kepada umum,” katanya yang turut dibantu wakil Badan Kebajikan Islam Petronas, Hishamuddin Ibrahim.

Sementara itu Ustaz Dr Rahmat Abdullah yang mengelolakan Sinar Korban Services berkata, program hasil sumbangan rakyat Malaysia itu bukan hanya berkisar soal pembahagian daging korban malah lebih utama menyatukan umat Islam yang mendiami kampung itu.

Menurutnya, upacara korban itu berjaya menarik dan mengumpulkan masyarakat Islam di sini supaya saling bekerjasama serta merapatkan ukhwah di antara mereka. "Tiada ibadah korban dilakukan di kampung itu sebelum ini susulan isu kemiskinan dihadapi dan harga ternakan yang dianggap mahal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 10:32 PM