WARGA asing bekerjasama melapah daging pada majlis sambutan Aidiladha bersama masyarakat pelarian anjuran Humanity Heroes di Masjid Bukit Indah, Ampang, semalam. FOTO Rosdan Wahid
Mohd Hilmie Hussin


PENGANJURAN ibadah korban badan bukan kerajaan (NGO) yang meraikan masyarakat pelarian di ibu kota, mendapat pujian daripada masyarakat terbabit.

Apa tidaknya, 200 masyarakat pelarian daripada pelbagai negara, diraikan malah mereka berasa suasana melakukan ibadah itu seperti di negara sendiri.

Amer Arnous, 29, dari Syria berkata, dia teruja apabila penganjur menjemputnya dan pelbagai kaum masyarakat pelarian meraikan ibadah korban.

“Ibadah korban dilakukan di sini, sama saja dengan di negara saya, cuma ia dilakukan di Malaysia. Saya di sini bersama ibu saya sejak enam tahun lalu.

“Saya tidak sangka merasai semula kemeriahan ibadah korban seperti di negara asal,” katanya.

Seorang lagi pelarian, Naeim, 41, dari Sudan, berkata, hubungan erat kerajaan Malaysia dan Sudan membolehkannya berlindung di negara ini.

“Saya datang pada 2013, enam tahun di Malaysia, Alhamdulillah rasa seperti berada di negara ini.

“Masyarakat Malaysia sangat peramah dan saya ada ramai rakan Islam tempatan. Mereka menjemput saya ke rumah mereka kerana ada menjalankan ibadah korban. Sebagai sebahagian daripada masyarakat pelarian yang menyertai program hari ini, kami akan memasak masakan kegemaran Sudan itu seperti daging bakar cuma rempahnya berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Humanity Heroes, Ashraff Rahman berkata, program terbabit kali pertama dianjurkan sendiri Humanity Heroes.

“Hari ini, 15 sukarelawan kita terlibat dan kita menjemput 11 komuniti pelarian dari negara seperti Syria, Afghanistan, Iraq, Somalia, Palestin, Yaman, Pakistan, Rohingya, Uighur serta Burma.

“Sebanyak 11 lembu, 17 biri-biri dan lima kambing disembelih hasil penyertaan masyarakat beragama Islam yang mengambil bahagian dalam ibadah korban kali ini. Penyertaan korban ini bukan hanya membabitkan rakyat Malaysia, malah ada daripada mereka beragama Islam di Australia dan United Kingdom yang mengambil bahagian menerusi tempahan atas talian,” katanya.

Menurut Ashraff lagi, semua daging korban akan dimasak di masjid terbabit, mengikut jenis masakan negara masyarakat pelarian.

Ashraff berkata, penganjuran ibadah korban dengan meraikan masyarakat pelarian itu bertujuan merapatkan hubungan sesama Islam masyarakat pelarian dengan tempatan kerana terlalu banyak konflik berlaku termasuk salah faham mengenai masyarakat pelarian.

Beliau berkata, kos pembelian haiwan ternakan terbabit mencecah RM60,000 manakala pengurusan masyarakat pelarian termasuk membawa mereka ke masjid dan makan minum membabitkan RM8,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 4:45 AM