Mohammad (kanan) menunjukkan risalah berkaitan JPJeBid Pahang. Foto Asrol Awang


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang memperkenalkan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) bagi nombor pendaftaran kenderaan.

Pengarah JPJ Pahang Mohammad Abdullah berkata, proses JPJeBid itu menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dilakukan.

Menurutnya, sistem itu juga membantu mempertingkat dan memperkemaskan pengurusan mengenai nombor pendaftaran.

“Pengguna hanya perlu mempunyai rekod dalam Sistem MySikap atau mendaftar di mana-mana cawangan JPJ bagi tujuan ini.

“JPJ Pahang akan mula membuka bidaan bagi nombor pendaftaran baru negeri ini iaitu CEE secara dalam talian bermula 12 tengah malam 30 Ogos ini dan berakhir pada 11.59 malam 3 September,” katanya.

Mohammad berkata, bagi kaedah bidaan dalam talian, pembida perlu menggunakan aplikasi di telefon pintar atau melayari laman web untuk membuat bidaan nombor plat.

Katanya, harga bidaan JPJeBid adalah mengikut harga minimum membabitkan beberapa kategori.

“Bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum ialah RM20,000 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM1,000 iaitu pada kadar lima peratus.

“Bagi nombor menarik harga minimum adalah RM3,000 dan kenaikan bidaan minimum RM150, nombor popular (harga minimum RM800 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM40) dan nombor biasa (harga minimum RM300 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM15).

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh hubungi JPJ Pahang di talian 09-5736622 atau ke Bahagian Pelesenan Kenderaan Kompleks JPJ, Bandar Indera Mahkota,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 11:19 AM