Izlaily Nurul Ain Hussein


PADAH melakukan sumbang mahram ke atas anak tiri, seorang tukang rumah dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini.

Bapa tiri berusia 62 tahun itu terdahulu masih mengekalkan pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan sekali lagi terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan dengan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang juga anak tirinya yang mana kerana perhubungan itu adalah tidak dibenarkan undang-undang atau hukum agama yang terpakai kepadanya untuk berkahwin.

Bagi perbuatan yang dilakukan dalam sebuah bilik di rumah dekat Kota Kecil, kira-kira 2 petang, 17 Mac lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 23 Mei lalu, tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan berkenaan sebelum hari ini ditetapkan untuk mahkamah menjatuhkan hukuman.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh merayu hukumannya diringankan dengan alasan mempunyai tanggungan termasuk bayaran rumah dan kereta.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan bagaimanapun dalam hujahan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas beberapa alasan.

“Walaupun tertuduh tidak mempunyai rekod lampau, tetapi pendakwaan memohon hukuman pemenjaraan yang berat atas alasan mangsa hanya berusia sembilan tahun yang tidak faham mengenai hubungan seksual.

“Sebagai bapa tiri, tertuduh sepatutnya menyayangi dan melindungi mangsa serta menjadi tauladan baik, tetapi tertuduh menggunakan ruang dan peluang melakukan hubungan seks secara paksaan atau merogol.

“Mangsa mengalami kesakitan selain trauma akibat perbuatan tertuduh. Mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa tarikh tertuduh ditangkap iaitu 19 Mac lalu.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga isteri kepada tertuduh membuat laporan polis pada 18 Mac lalu berhubung kejadian menimpa kanak-kanak itu sebelum polis membuat tangkapan ke atas tertuduh pada keesokan harinya.

Siasatan dijalankan mendapati kejadian itu benar berlaku yang mana tertuduh mengadakan hubungan seks bersama mangsa secara paksaan dan turut meliwat mangsa.

Kejadian berlaku di rumah selepas tertuduh menjemput mangsa pulang dari sekolah yang mana ketika itu pengadu tiada di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 11:58 AM
TERTUDUH diiringi polis ketika hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan merogol anak tiri. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim