FOTO hiasan
Norizuan Shamsuddin


SURI rumah terpaksa menanggung kerugian RM35,330 selepas menjadi mangsa penipuan individu menyamar sebagai kakitangan mahkamah dan anggota polis.

Kejadian didakwa berlaku selepas wanita berusia 41 tahun dari Bukit Payong, Marang, menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai Pembantu Am Mahkamah Majistret Labuan pada awal Julai lalu.

Katanya, individu terbabit memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan kad kredit di Labuan berjumlah RM8,450.

“Wanita terbabit diminta hadir ke Mahkamah Labuan jam 3 petang pada 16 Julai tetapi mangsa memaklumkan tidak dapat berbuat demikian kerana berada di Terengganu.

“Bagaimanapun, individu terbabit menyambung talian kepada seorang lelaki lain yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Osman Abdul Kadir’ yang mendakwa sebagai Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Labuan.

“Lelaki terbabit didakwa meminta mangsa membuat laporan polis segera menerusi talian telefon dan wanita terbabit mengikuti arahan suspek sebelum menamatkan talian,” katanya.

Menurutnya, dua hari kemudian, wanita terbabit menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Osman’.

Katanya, menerusi panggilan terbabit, suspek memaklumkan hasil semakan dilakukan polis mendapati nombor kad pengenalan milik wanita berkenaan didapati terbabit dengan kes penggubahan wang haram di Labuan.

“Suspek memaklumkan akaun bank milik mangsa akan dibekukan bagi membantu siasatan dan lelaki terbabit memintanya supaya memindahkan wang ke akaun bank didakwa kononnya milik ‘Juru Audit Negara’ sekiranya tidak mahu wangnya dirampas.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa mengeluarkan wang simpanan dalam beberapa akaun bank miliknya dengan melakukan lebih 10 transaksi berjumlah RM35,330 ke dalam akaun bank diberikan kepadanya sebelum itu.

“Bagaimanapun, mangsa dihubungi seorang lagi individu mendakwa sebagai anggota polis memaklumkan kad pengenalan miliknya disalah guna individu bagi menyewa kereta dan terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Menurutnya, tindakan individu berkenaan membuatkan wanita terbabit mula merasa sangsi selepas diminta membuat pembayaran bagi membatalkan dakwaan.

“Apabila wanita terbabit membuat semakan, didapati dia menjadi mangsa sindiket Macau Scam.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, semalam,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenalpasti serta mengesan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 6:31 PM