LAPORAN portal Harian Metro.
Zuliaty Zulkiffli


KOMPRESOR pendingin hawa Masjid Tok Keling di Alor Setar, terbakar dipercayai dilakukan suspek sama yang ditahan berkaitan kes membakar permaidani di dua masjid di Pendang, semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dimaklumkan oleh orang awam pada 9.30 pagi berlaku kebakaran kecil di luar masjid itu pagi semalam.

Menurutnya, kebakaran itu sempat dipadamkan oleh penduduk setempat.

“Masjid ini terletak dalam daerah Kota Setar dan jarak dengan dua masjid yang terbakar di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang adalah kira-kira 10 kilometer.

“Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah sudah melakukan siasatan dan mendapati kes ini dipercayai mempunyai unsur khianat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Bencana dengan Api Kanun Keseksaan.

Mengulas mengenai tangkapan suspek berkaitan kebakaran di dua masjid di Pendang semalam, Zainuddin berkata, suspek sudah direman selama seminggu bermula hari ini.

“Hasil siasatan suspek mengaku melakukan perkara itu bersama seorang lagi rakan yang masih bebas.

“Usaha mengesan rakan suspek sedang giat dilakukan setakat ini,” katanya.

Zainuddin berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati suspek bebas dari pengaruh dadah.

Katanya, dengan tertangkapnya suspek, pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes kebakaran membabitkan ketiga-tiga masjid berkenaan.

“Namun begitu, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kebakaran permaidani di Masjid Pendang Masjid Kampung Rambai di Pendang pada awal pagi semalam.

Berita berkaitan

Lelaki ditahan cuba bakar masjid [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 7:36 PM