HAKISAN pantai mengancam penghuni yang menduduki lima kediaman di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara. FOTO Hassan Omar


SERAMAI 30 penghuni lima kediaman di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah di sini, hidup dalam keresahan sejak seminggu lalu kerana khuatir ditimpa kejadian tidak diingini berikutan hakisan pantai di kawasan itu yang semakin serius.

Ombak besar dan air pasang kesan tiupan angin selatan sejak awal Julai lalu menyebabkan pantai berkenaan terhakis sedikit demi sedikit dan semakin menghampiri kediaman penduduk.

Pemilik rumah, Roslan Daud, 65, berkata, hakisan yang bermula sejak beberapa bulan lalu kini semakin menghampiri dinding dapur kediamannya.

“Bagi mengelakkan hakisan menjejaskan kediaman, saya bersama jiran menggunakan guni pasir sebagai benteng, namun usaha itu tidak berkesan kerana ombak terlalu kuat.

“Hakisan juga menyukarkan kami menurunkan bot ke laut berikutan tebing di pantai sekarang menjadi semakin tinggi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Roslan berkata, selain mengancam nyawa, hakisan juga bakal menyebabkan mereka kerugian besar berikutan risiko kerosakan harta benda.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Halim Bachik berkata, pihaknya sudah meninjau lokasi terjejas.

Katanya, laporan berhubung masalah itu sedang disiapkan dan akan dihantar kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut.

“Kami meminta JPS membina benteng pemecah ombak sepanjang 50 meter yang menganjur dari pantai ke laut dan tembok di tebing pantai.

“Semua ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk dan menyelamatkan pantai itu daripada musnah akibat hakisan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 5:00 AM