Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto Arkib NSTP
Murni Wan Omar


PROSIDING bicara kes kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 66, ditangguhkan sehingga Jumaat ini berikutan beliau mengalami infeksi pada kedua belah matanya (conjunctivitis).

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya hari ini berkata, tiada pilihan lain selain menangguhkan kes itu.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terdahulu memberitahu mahkamah bahawa beliau difahamkan ia mungkin mula berlaku semalam.

Tambah beliau, Najib diberi sijil cuti sakit bermula hari ini hingga Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram setuju kes itu ditangguhkan berikutan keadaan kesihatan mata Najib.

“Saya ditunjukkan gambar Najib dan ia kelihatan teruk pada kedua-dua matanya. Penyakit mata ini boleh berjangkit dan kita semua mungkin boleh mendapat jangkitan yang sama.

“Saya cadangkan kes ini disebut semula Jumaat ini dan pihak kami akan berbincang dengan pasukan yang mengendalikan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya kes ini dapat didengar habis sekurang-kurangnya peringkat pendakwaan dahulu,” katanya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes Isnin depan.

Prosiding membabitkan dana SRC International Sdn Bhd itu kini sedang mendengar keterangan saksi terakhir iaitu Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain, 54.

Kes skandal 1MDB yang dihadapi Najib sepatutnya mula bicara Isnin depan selepas permohonan mereka untuk menangguhkan kes itu, gagal di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 10:49 AM