Anggota JBPM memadam kebakaran belukar tanah gambut di Miri semalam. Foto Ihsan JBPM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TIGA daerah di Sarawak terus mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bahaya dan sangat tidak sihat sejak jam 3 pagi hingga jam 11 pagi hari ini.

Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melaporkan IPU di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri mencatatkan paras bahaya dengan bacaan antara 357 hingga 361.

Dua kawasan lain yang mencatatkan IPU sangat tidak sihat adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 dan Sri Aman masing-masing dengan bacaan 268 dan 239.

IPU di bandar Miri mencatatkan bacaan tidak sihat sejak jam 7 pagi dengan bacaan 121.

Pencemaran udara di kawasan Miri berlaku disebabkan kebakaran hutan paya gambut yang berlaku sejak minggu lalu.

Sebanyak 370 kes dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sejak 1 Ogos hingga semalam.

Kawasan lain di Semenanjung dan Sabah mencatatkan bacaan IPU sederhana bagi tempoh bacaan sama.

Antara faktor lain yang menyumbang berlaku jerebu di negara ini adalah kerana kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia antaranya di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan bacaan IPU terkini yang dikemas kini setiap jam, orang ramai boleh melayari http://apims.doe.gov.my.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 12:27 PM