Hairulazim Mahmud


“CHARLES Santiago (Ahli Parlimen Klang) tak faham pentadbiran kerajaan dan kaedah Kabinet buat keputusan,” tegas Ketua Armada BERSATU Lumut Akmal Maradzi.

Bukan saja biadab, katanya, pemimpin DAP itu juga diingatkan jangan menuduh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya membuat keputusan sendiri dalam mentadbir negara termasuklah dalam isu seni khat Jawi di sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Katanya, Santiago bukan saja gagal memahami tatacara pentadbiran sebaliknya turut cuba mewujudkan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Armada Lumut melihat tindakan Charles ini sebagai amat biadab dan tidak mengetahui hal pentadbiran kerajaan.

“Sedangkan setiap keputusan dibuat hendaklah melalui Kabinet dan Majlis Pimpinan Presiden (MPP) PH,” katanya kepada media selepas Program Korban Perdana BERSATU Bahagian Lumut, semalam.

Kelmarin, Dr Mahathir dalam nada sinis berkata, akan bertanya kepada Santiago sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau menganggap Ahli Parlimen DAP itu kini ‘setaraf’ dengan dirinya kerana perlu diminta pandangannya sebelum membuat keputusan berkaitan pentadbiran negara.

Sebelum itu, Santiago dalam catatan di Facebook (FB) rasminya berkata, situasi sekarang menunjukkan seolah-olah Dr Mahathir bertindak sendirian, walaupun BERSATU adalah minoriti dalam Pakatan Harapan.

Katanya, sudah tiba masanya untuk menilai kembali proses membuat keputusan dalam kalangan MPP PH.

Dalam pada itu, Akmal menempelak Santiago kerana tidak merujuk kepada pimpinan DAP terlebih dulu sebelum melontarkan dakwaan tidak berasas.

“Apakah beliau ini amat malas membuat kajian atau bertanyakan kepada pimpinan DAP sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Perdana Menteri melalui FB,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 12:52 PM