RAKAMAN CCTV mangsa ditumbuk lelaki tidak siuman. FOTO ihsan pembaca
Khalid Latip


LELAKI tidak siuman bertindak menumbuk muka seorang wanita berkali-kali di sebuah kedai dobi di Bintangor, semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu, lelaki berseluar pendek itu masuk ke premis lalu menumbuk muka mangsa berulang kali sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Sekam Anoi berkata, mangsa seorang penuntut berusia 19 tahun.

“Suspek yang muncul mengejut dan menumbuk mangsa berkali-kali sebelum keluar meninggalkan premis berkenaan.

“Kejadian berlaku begitu pantas mengakibatkan pelanggan lain di kedai dobi itu terpinga-pinga. Namun, ada antara mereka yang bertindak melindungi mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di laman sosial.

Dalam rakaman itu, lelaki yang hanya berseluar pendek itu memasuki premis dalam keadaan marah dan menumbuk wanita yang sedang menunggu pakaian dicuci.

Sekam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 1:13 PM