NORA Anne. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


“NORA sentiasa di hati kami,” kata ahli keluarga remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemui mati di kawasan hutan di Pantai, Seremban, semalam.

Ahli keluarga merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) atas usaha gigih mencari Nora yang hilang sejak 4 Ogos lalu.

Mereka turut berterima kasih kepada penduduk setempat kerana turut sama membantu mencari Nora selain doa dan sokongan daripada orang ramai.

“Nora berjaya menyatukan semua pihak terutama Perancis, Ireland, Britain dan Malaysia dalam misi mencarinya secara bersama selain sokongan dan kasih sayang terhadapnya.

“Dia (Nora) menyentuh hati bukan saja rakyat Malaysia tetapi juga seluruh dunia. Kepada semua rakan dan keluarga di rumah, kami ucapkan terima kasih untuk kasih sayang diberikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan di Facebook Lucie Blackman Trust, sebuah perbadanan amal yang menguruskan hal ehwal berkaitan media untuk keluarga mangsa.

Selain itu, ahli keluarga turut menyifatkan Nora sebagai gadis yang istimewa.

“Kami amat menyayanginya dan sangat terkesan dengan pemergiannya. Hati kami luluh.

“Kami akan sentiasa menyayangi Nora,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 2:02 PM