JEMAAH Masjid Al-Mutaqqin membuat laporan polis Kulim berkaitan bunyi bising. FOTO ihsan pembaca
Nor Farhani Che Ad


POLIS menafikan berlaku serangan di Masjid Al-Mutaqqin Taman Selasih, Kulim, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, laporan polis yang dilakukan oleh jemaah masjid adalah berkaitan bunyi bising oleh kumpulan tertentu sehingga mengganggu jemaah sedang solat.

“Semalam, kita ada menerima laporan dibuat oleh jemaah masjid, bagaimanapun ia hanya laporan biasa berkenaan bunyi bising dan kes pun sudah diselesaikan.

“Kita minta orang ramai supaya jangan percaya dan berhenti menyebarkan perkara yang tidak benar ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, setiausaha masjid, Muhamad Nasir Md Jusoh berkata, masjid masih dalam keadaan selamat dan ibadah korban sempena Aidiladha dapat dilakukan tanpa berlaku sebarang gangguan.

“Perkara yang ditularkan adalah tidak tepat, kami akui memang ada bunyi bising yang datang daripada aktiviti pihak tertentu tetapi keadaan masjid masih dalam keadaan terkawal.

“Mungkin ada pihak yang sengaja membuat provokasi sehingga timbulnya isu seperti ini,” katanya.

Sebelum ini, beberapa kenyataan dan rakaman suara kononnya akan berlaku serangan di masjid berkenaan tular di WhatsApp sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 2:09 PM